fbpx

MALAM PENGHARGAAN PAKARHR IKTIRAF PERKEMBANGAN POSITIF USAHAWAN PKS

MALAM penghargaan PakarHR merupakan satu program untuk mengiktiraf usahawan Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang menunjukkan perkembangan positif dari segi perniagaan, pengurusan dan strategi operasi syarikat.

Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) PakarHR, Hisham Wahab berkata, kebanyakan yang hadir dalam Malam Penghargaan PakarHR adalah yang menyertai program-program yang disediakan oleh mereka.

“Malam ini akan ada 19 anugerah yang akan kami beri kepada mereka yang menunjukkan perkembangan yang baik dalam perniagaan.

“Program penghargaan ini adalah kali kedua di mana kali pertama diadakan di Johor pada tahun lepas,” katanya pada sidang media Malam Penghargaan PakarHR di Kuala Lumpur, pada Rabu.

Turut hadir pada program tersebut adalah Timbalan Pengerusi Tekun Nasional, Mohd Sany Hamzan yang juga merupakan perasmi program;Pengarah Pengurusan Pelaburan Bank Islam, Datuk Nik Hasyudeen Yusof; Ketua Pengarah Eksekutif SagaCloud, Datuk Shamsul Husin dan Ketua Pengarah Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Annuri.

Dalam pada itu Hisham berkata, program penghargaan itu mengenakan tema Palestin sesuai dengan intipati program itu yang juga menjalankan tabung dana sepanjang program bagi disalurkan kepada saudara di Palestin.

Katanya lagi, ia bukan sahaja sebuah program makan malam tetapi mereka telahpun menjalankan program kelas Sharpshooter Boostcamp selama tiga hari.

“Program malam ini bukan sahaja majlis makan malam, tetapi kami menganjurkan program Sharpshooter Boostcamp.

“Kita mengajar Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) cara untuk bina Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam organisasi.

“Mereka belajar langkah demi langkah cara untuk bina KPI dengan betul,” katanya.

Katanya lagi, terdapat seramai 88 orang daripada 23 syarikat yang mengikuti program selama tiga hari itu.

Dengan program itu menurutnya, PakarHR sedang dalam usaha untuk mendapatkan pengiktirafan Malaysian Book of Records untuk program KPI pertama dan serentak untuk 23 syarikat PKS.

RELATED POST